KURSUS PENGENALAN PERALATAN MENANGKAP IKAN
(PENJAWAT AWAM)
29 Julai - 2 Ogos 2018
Oleh: Mohd Faizal bin Mat Ahan
Ketua Cawangan Teknikal Perikanan, Akademi Perikanan Malaysia
Pada 29 Julai 2018 hingga 2 Ogos 2018, Akademi Perikanan Malaysia (APM) telah melaksanakan kursus Upskilling iaitu Pengenalan Peralatan Menangkap Ikan kepada penjawat awam Jabatan Perikanan Malaysia. Kursus ini telah dihadiri oleh seramai 20 orang kakitangan jabatan yang berkhidmat di seluruh negara. Objektif kursus ini diadakan adalah untuk memperkenalkan peralatan menangkap ikan yang digunakan di Malaysia kepada peserta terutama kakitangan lantikan baharu. Selain itu, peserta yang telah lama berkhidmat juga dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sedia ada apabila mengikuti kursus ini.
Kursus ini telah mendedahkan kepada peserta secara teori mengenai jenis-jenis peralatan menangkap ikan tradisional dan komersial yang digunakan di Malaysia. Peserta diajar secara praktikal mengenai jenis-jenis simpulan dan ikatan tali. Peserta yang mengikuti kursus ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil di mana setiap kumpulan dikehendaki untuk membina bubu ikan mengikut spesifikasi dan kaedah yang betul. Aktiviti amali ini secara tidak langsung dapat mendedahkan dan meningkatkan kemahiran peserta dalam pembuatan bubu ikan. Bubu ikan yang berjaya disiapkan akan diuji melalui aktiviti amali di laut di mana peserta diajar kaedah mengoperasi bubu ikan yang betul. Di akhir kursus peserta juga diajar mengenai penyelenggaraan dan penjagaan bubu ikan. Di harap kursus ini dapat memberi manfaat dan dapat diadakan lagi pada masa hadapan demi melahirkan lebih ramai pakar peralatan menangkap ikan di jabatan.
En. Arifin dan En. Ahmad Shahril Safwan memberi tunjuk ajar kepada peserta mengenai jenis-jenis simpulan dan ikatan
Aktiviti pembinaan bubu ikan oleh peserta di Bengkel Peralatan
Aktiviti amali operasi bubu ikan di laut
Peserta kursus Pengenalan Peralatan Menangkap Ikan
Kemaskini pada 2018-08-07 12:22:16 daripada Admin APM