

Pengarah Akademi Perikanan Malaysia
Akademi Perikanan Malaysia (APM) ialah sebuah Institusi Kemahiran yang berperanan utama dalam membina modul latihan bersepadu dan modal insan bagi para kakitangan, pelatih dan golongan sasar. APM sebagai sebuah institusi yang telah lama bertapak sentiasa mengambil langkah proaktif dan responsif kepada aspirasi kerajaan melalui modul latihan yang bersepadu. Modul latihan tersebut dirangka dengan teliti dan terperinci dalam bentuk kursus jangka pendek dan kursus jangka panjang.
Selaras dengan status sebagai Pusat Bertauliah Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP) yang menawarkan pensijilan dalam bidang kemahiran Teknologi Perikanan Tangkapan, APM memberi tumpuan kepada aspek kemahiran teknikal dan pembangunan insan berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS) dalam meningkatkan kualiti sektor perikanan terutamanya bagi memenuhi keperluan golongan sasar. Selain itu, penawaran Program Sijil Perikanan (MQA/FA7564) turut membuka peluang lebih luas kepada lepasan SPM dan SPMV menerusi gabungan pengetahuan teori serta pengalaman praktikal yang merangkumi empat aspek utama iaitu Perikanan Tangkapan, Akuakultur, Biosekuriti, dan Pengurusan Produk Perikanan Lepas Tuai demi melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berdaya saing. Program ini akan menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang perikanan sebagai pekerja mahir dan pengusaha perikanan yang bertaraf komersial dan berskala besar melalui penggunaan teknologi terkini yang bersesuaian bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti.
Setiap penjawat awam di APM mestilah sentiasa proaktif dan komited sejajar dengan moto APM sebagai “PUSAT KECEMERLANGAN ILMU”. Moto ini haruslah menjadi pemangkin dan pegangan kepada semua penjawat awam di APM dalam menghasilkan perkhidmatan yang menjurus kepada pengeluaran pelatih yang berkompetensi kemahiran serta memfokuskan latihan amali, projek, dan simulasi. Di samping itu, program di APM akan menumpukan latihan daripada aspek peningkatan pengetahuan dan kemahiran, pemantapan jati diri pelatih, serta amalan keselamatan di tempat kerja.
Teknologi Maklumat merupakan media yang sangat berkesan dan terkini. Kewujudan laman web ini memberi ruang untuk APM menyalurkan maklumat tentang aktiviti yang telah, sedang, dan akan dijalankan dengan mudah dan tepat. Sebagai Pengarah APM, saya mengharapkan agar maklumat yang disalurkan melalui laman web ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang peranan dan fungsi APM dalam merealisasikan hasrat kerajaan seterusnya menjadikan sektor perikanan sebagai industri makanan negara yang mampan dan berdaya saing. Laman web ini juga diharapkan dapat memberi maklumat dan inspirasi kepada masyarakat perikanan khasnya para nelayan, pekerja industri perikanan, serta majikan industri perikanan di seluruh negara. Semoga usaha murni kerajaan untuk memberikan kehidupan yang harmoni, sejahtera, dan bermakna kepada masyarakat perikanan ini akan tercapai dengan cemerlang.
Akhir kata, dengan penuh iltizam dan semangat jitu, saya berharap semua warga APM sentiasa memberikan kerjasama yang padu kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab bagi mencapai objektif APM dan Jabatan Perikanan Malaysia.
Sekian, terima kasih.